Model serba baharu Proton Suprima S – butiran lengkap spesifikasi dan senarai harga didedahkan!
Selepas bocornya banyak gambar-gambar menarik model terhangat Proton Suprima S kelmarin, hari ini pula merupakan giliran ‘brochure’ serba lengkap yang dimuatnaik ke laman forum Lowyat.net.
 Melalui salinan brochure tersebut, kita kini sudah mendapat butiran 
penuh spesifikasi model hatchback terbaharu itu, di samping senarai 
harga bagi setiap varian menjelang pelancaran rasminya Sabtu ini (17hb. 
Ogos 2013).
Berdasarkan maklumat dari brochure, nama
 sebenar model tersebut sememangnya sah sebagai Proton Suprima S, dan 
ianya hadir dalam dua varian berbeza iaitu Executive dan Premium. Saya 
tidak pasti sama ada masih terdapat varian lain yang bakal ditawarkan 
oleh Proton, namun andaian ketika ini hanya dua varian tersebut sahaja 
yang akan diperkenalkan. Mungkin varian lebih berkuasa atau varian asas 
(baseline model) bakal diperkenalkan kemudian, berdasarkan permintaan 
dari pasaran dan juga maklumbalas dari pelanggan.
Kedua-dua varian Suprima S Executive dan
 Suprima S Premium dilengkapi enjin Campro 1.6 Turbo, yang sebelumnya 
dikenali sebagai enjin CFE seperti mana didapati pada model Preve 
Premium. Ada beberapa sebab kenapa Proton membuat keputusan untuk 
menggunakan perkataan Turbo bagi menggantikan akronim CFE. Antaranya 
ialah ramai pelanggan, atau lebih tepat lagi ialah rakyat Malaysia, 
tidak mengetahui bahawa enjin CFE itu sebenarnya adalah enjin turbo. 
Menggunakan nama enjin Campro 1.6 Turbo secara asasnya lebih 
berterus-terang dan pastinya rakyat Malaysia merasa lebih teruja dengan 
enjin jenis induksi pendesak itu.
Menurut maklumat yang tertera di 
brochure, enjin turbo tersebut menghamburkan kuasa kuda setinggi 
140PS@4,000rpm, dengan kuasa tork mencecah 205Nm@2,000-4,000rpm. Mungkin
 tiada perbezaan kuasa enjin tersebut dengan enjin CFE pada model Preve 
Premium, (Preve Premium 138hp, bersamaan 140PS, sementara tork adalah 
sama 205Nm), namun apa yang lebih membuatkan saya tertanya-tanya ialah 
berat Suprima S (kerb weight) ialah 1,375kg (varian Executive) dan 
1,395kg untuk varian Premium, sementara berat Preve Premium pula ialah 
1,340kg (kerb weight), lebih rendah sebanyak 35kg dan 55kg berbanding 
kedua-duanya.
Jadi persoalannya di sini ialah mampukah
 Suprima S mencapai prestasi enjin dan pemanduan yang lebih baik 
berbanding Preve Premium dengan berat kering keseluruhan yang semakin 
bertambah? Melihat kepada pecutan dari 0 ke 100km pula, Suprima S mampu 
mencatatkan masa pecutan 9.9 saat, sementara Preve Premium 9.6 saat, 
kurang 0.3 saat berbanding Suprima S. Mungkin untuk lebih kepastian, 
sesi pandu uji kedua-dua model yang berbeza bakal memberikan jawapan 
yang lebih tepat dan adil. Seperkara lagi, kedua-dua varian Suprima S 
tersebut dilengkapi transmisi CVT, bukannya manual seperti yang 
diharap-harapkan.
Beralih kepada beberapa spesifikasi 
penting lain, Suprima S Executive dan Premium dilengkapi brek cakera di 
keempat-empat bahagian tayar, dengan saiz tayar bagi kedua-dua varian 
adalah berbeza. Suprima S Executive dipasangkan tayar bersaiz 205/55 R16
 dengan rim aloi, manakala Suprima S Premium dengan tayar bersaiz 215/45
 R17, juga dengan rim aloi yang direka berbentuk sporty dan menyerlah.
Merujuk kepada brochure juga, didapati 
Proton Suprima S dilengkapi pelbagai ciri-ciri penting untuk tahap 
keselamatan maksimum, antaranya termasuklah ABS dan EBD, Hill-Hold 
Assist (Premium sahaja), Brake Assist (BA), Electronic Stability Control
 (ESC), Traction Control (TC), enam beg udara, serta turut dilengkapi 
sensor parking depan dan belakang (Executive depan sahaja), kamera 
undur, lampu utama automatik (Auto headlamp), dan Electronic Gear Shift 
Lock (Premium sahaja).
Lebih menarik dan memberikan rasa 
premium terhadap Suprima S ini ialah kehadiran kusyen dengan balutan 
kulit, termasuk kemasan kulit untuk pintu (door trim) dan roda stereng 
(varian Premium sahaja). Bagi saya, kusyen dengan balutan kulit sangat 
penting untuk sesebuah model premium kerana ianya bukan setakat 
menambahkan keselesaan sewaktu pemanduan menuju ke setiap destinasi, 
malah ianya lebih mudah dibersihkan berbanding kusyen fabrik, selain 
tidak dinafikan yang ianya kelihatan lebih bergaya dan sporty.
Proton Suprima S turut dilengkapi skrin 
LCD bersaiz 7 inci baharu dengan pemain DVD, dengan tambahan ciri-ciri 
seperti Intergrated DSP, Bluetooth, serta sambungan iPod, USB termasuk 
adanya sistem navigasi GPS terbina dalam. Varian Premium juga lebih 
meriah dengan sistem bunyi enam pembesar suara, apabila Proton menambah 
lagi dua unit tweeter pada tiang A-Pillar Suprima S. Lebih lagi, Suprima
 S Premium turut dibekalkan lampu DRL sebenar (Daytime Running Light) 
yang pastinya menambah gayanya ketika berada di atas jalan raya kelak.
Ciri-ciri eksklusif lain yang melengkapi
 Suprima S Premium ialah penganjak pedal (Paddle Shifter), penyaman 
udara kawalan auto, butang Push/Start, Auto Cruise dan Auto Wiper (depan
 sahaja). Lima warna menarik ditawarkan untuk Proton Suprima S baharu, 
antaranya ialah Atlantic Blue (Biru), Fire Red (Merah), Genetic Silver 
(Perak), Solid White (Putih) dan Tranquility Black (Hitam).
Akhirnya, kini tiba pula giliran kita 
semua untuk melihat senarai harga sebenar Proton Suprima S. Perlu 
diingat bahawa senarai harga ini mungkin boleh berubah sewaktu hari 
pelancaran nanti, atau mungkin juga akan kekal seperti sedia ada. Harga 
di atas jalan (OTR) bagi pasaran Semenanjung Malaysia adalah seperti 
berikut :
- Proton Suprima S Executive (Solid Colour) : RM76,338.00
 - Proton Suprima S Executive (Metallic Colour) : RM76,688.00
 - Proton Suprima S Premium (Solid Colour) : RM79,638.00
 - Proton Suprima S Premium (Metallic Colour) : RM79,988.00
 
Berikut pula ialah senarai harga Proton Suprima S (harga OTR) bagi pasaran di Sabah dan Sarawak (Malaysia Timur):
- Proton Suprima S Executive (Solid Colour) : RM78,338.00
 - Proton Suprima S Executive (Metallic Colour) : RM78,688.00
 - Proton Suprima S Premium (Solid Colour) : RM81,638.00
 - Proton Suprima S Premium (Metallic Colour) : RM81,988.00
 
Kesimpulannya, Proton Suprima S boleh 
dikatakan sebagai buah tangan terbaru dari Proton yang tampil berbeza 
berbanding model-model lain, malah menepati kehendak pasaran ketika ini 
yang lebih meminati model-model berbentuk hatchback dan kompak. Namun 
melihat kepada senarai harga yang ditawarkan, mungkinkah pemilik Proton 
iaitu DRB-Hicom agak keterlaluan dalam menetapkan jumlahnya? Berikan 
maklumbalas dan kritikan membina anda di dalam ruangan komen di bawah.





0 comments:
Post a Comment